KLIK DI SINI

Memuatkan ...

Isnin, 10 Disember 2012

Tanda-tanda anda mempunyai masalah di bahagian jantung


Di kalangan kita, mesti ada yang pernah membaca tentang tanda-tanda atau gejala penyakit jantung.  Antara gejala yang paling popular yang sering kita dengar ialah sakit dada dan sesak nafas.  Namun, bagaimana pula dengan gejala-gejala lain yang perlu kita ketahui sekiranya terdapat gangguan pada jantung kita?
Menurut pakar jantung, gejala sakit jantung bukan sahaja melibatkan dua faktor tersebut sahaja malah boleh melibatkan gangguan pada anggota tubuh badan yang lain.
Berikut merupakan lima petunjuk yang boleh dijadikan panduan sekiranya terdapat gangguan pada jantung anda.  Jika anda mengalami dua atau lebih daripada gejala seperti di bawah maka anda disarankan untuk segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut.
1.Sakit leher
Adakah anda pernah mengalami sakit otot yang berlarutan di bahagian leher? Anda mestilah berwaspada sekiranya rasa sakit ini tidak hilang.  Hal ini kerana menurut pengalaman pesakit jantung, tanda-tanda awal yang dapat dikesan ialah rasa sakit dan tegang di bahagian leher.  Mereka selalu mengabaikan gejala tersebut kerana lebih fokus terhadap gejala yang lebih besar seperti sakit di bahagian dada, bahu dan lengan.
Bagi wanita, kemungkinan mengalami gejala seperti ini adalah kecil kerana kebiasaannya mereka akan mengalami sakit yang mendadak disertai rasa sakit di bahagian bahu dan bawah leher.  Rasa sakit tersebut juga akan merebak ke bahagian kiri tubuh badan termasuk bahu dan lengan.
Bagaimana perkara ini berlaku?  Saraf dari jaringan jantung yang rosak akan menghantar isyarat rasa sakit pada tulang belakang dan akhirnya akan merebak ke saraf di sekitar leher dan bahu.
2.Masalah Seksual
Lelaki yang mengalami masalah ereksi biasanya mempunyai masalah berkaitan penyakit pembuluh darah koroner.  Kajian terhadap lelaki di Eropah menunjukkan bahawa dua pertiga daripada pesakit jantung yang mendapat rawatan menderita masalah disfungsi ereksi selama berbulan-bulan sebelum disahkan menghidap penyakit jantung.  Beberapa penyelidikan terbaru mendapati bahawa memang terdapat kaitan antara masalah disfungsi ereksi dan penyakit kardiovaskular.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat bukti yang jelas bahawa pesakit yang mengalami disfungsi ereksi berisiko untuk menghidap penyakit jantung dan boleh membawa maut.
Bagaimana perkara ini berlaku?  Seperti pembuluh darah di sekitar jantung yang boleh menjadi sempit dan mengeras, begitu juga yang berlaku kepada pembuluh darah yang menghantar darah ke bahagian penis.  Kerana pembuluh darah di sekitar penis lebih kecil maka, pembuluh ini akan mengalami kerosakan yang lebih cepat bahkan tiga atau empat tahun lebih cepat sebelum penyakit jantung dapat dikesan.
3.Pening, Pengsan atau Sesak Nafas
Sebuah kajian mendapati lebih daripada 40 peratus wanita melaporkan bahawa mereka cenderung mengalami sesak nafas sebelum terjadinya serangan jantung.  Anda mungkin akan mengalami kesukaran bernafas, semput atau pening ketika berada di tempat yang tinggi.  Apabila anda mengalami kesukaran ketika melakukan aktiviti seperti menaiki tangga, menyapu atau berjalan sedangkan anda tidak mengalaminya sebelum ini maka gejala tersebut perlu diberi perhatian sebagai satu peringatan penting.
Bagaimana perkara ini berlaku?  Hal ini berlaku kerana aliran darah pada pembuluh darah yang membawa oksigen ke jantung tidak cukup.  Sakit pada otot jantung dan angina juga boleh membuat seseorang berasa sakit ketika menarik nafas.  Penyakit pembuluh darah koroner berlaku apabila pembuluh darah tersumbat akibat pengumpulan plak seterusnya menyebabkan jantung tidak mendapat bekalan oksigen yang cukup.  Kesukaran bernafas ini seringkali dikaitkan dengan angina iaitu sejenis penyakit pada otot jantung.
4. Gangguan Pencernaan, Mual atau Pedih Ulu hati
Walaupun ramai orang berpendapat bahawa masalah jantung begitu sinonim dengan sakit di dada namun, hal ini juga boleh berlaku pada bahagian perut.  Bagi sebilangan orang khususnya wanita, gejala seperti pedih ulu hati, sensasi kekenyangan atau tersedak perlu diambil berat kerana gangguan pencernaan yang serius dan rasa mual-mual juga boleh menjadi petanda awal serangan jantung atau dikenali sebagai miokardial infarksi. Sebuah penyelidikan menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung mengalami gejala muntah-muntah, mual dan gangguan pencernaan selama beberapa bulan sebelum serangan jantung berlaku.
Bagaimana ia berlaku?  Timbunan lemak pada pembuluh darah akan mengurangkan bekalan darah ke jantung sehingga menimbulkan rasa sakit khususnya di bahagian dada namun ia juga boleh berlaku pada bahagian perut.  Mual dan pening-pening juga menjadi petanda bahawa serangan jantung sedang berlaku.  Justeru itu, perlu segera memanggil doktor sekiranya keadaan tersebut berlarutan.
5. Sakit pada rahang dan telinga
Kesakitan pada rahang adalah sesuatu yang misteri dan sangat mengganggu.  Keadaan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor tetapi kadang-kadang ia merupakan petanda tentang wujudnya penyakit pembuluh darah koroner (CAD) dan tanda-tanda awal serangan jantung.  Beberapa pakar sedang mengkaji tentang kaitan antara sakit pada rahang dengan risiko serangan jantung.  Hasil kajian mendapati bahawa ramai pesakit jantung melaporkan mengalami masalah sakit pada rahang sebelum terjadinya serangan jantung.
Bagaimana ia berlaku? Kerosakan pada jaringan organ jantung akan merangsang penghantaran isyarat turun naik pada bahagian tulang belakang yang akhirnya merebak pada saraf-saraf lain bermula dari tulang leher, rahang hingga ke bahagian telinga.

Tiada ulasan: